Menjadi Isteri Luar Biasa

Entri 11
Oleh : Siti Zakiah Meskam

Sekarang tengah hot dengan drama Dia..Isteri Luar Biasa lakonan Shukri Yahya dan Fathia di tv3. Saya juga terjebak sama menjadi penonton drama ini. Menariknya, drama ini mengisahkan Dewi Yusra (fathia) yang tidak percaya dengan perkahwinan tetapi hanya mahu berkahwin kerana ingin mendapatkan zuriat yang dapat mewarisi perniagaan nasi ayamnya.

Misinya mencari suami akhirnya berjaya apabila dia berkahwin dengan Raden Amzar (Shukri). Raden tidak mengetahui niat sebenar Dewi . Dewi meminta cerai setelah misi utamanya mendapatkan zuriat berhasil manakala Raden pula berusaha untuk mendidik Dewi menjadi isteri yang baik.

Saya masih lagi tertunggu-tunggu pengakhiran cerita ini dan disini saya ingin berkongsi sisi baik yang saya dapati daripada drama ini.

Tajuk drama ini mengajak saya untuk berfikir bahawa menjadi isteri bukanlah cukup sekadar biasa-biasa sahaja, tetapi ada lebih hebat iaitu menjadi isteri yang luar biasa!

Saya suka watak Raden Amzar. Dia sedar yang isterinya mempunyai kelemahan, tetapi dia tidak ada perasaan pun untuk meninggalkan atau menceraikan Dewi. Baginya, dia bertanggungjawab membentuk isterinya menjadi seorang yang baik. Saya yakin Raden tidak mahu bercerai kerana dia sayangkan Dewi.

Realiti ini sepatutnya berlaku dalam perkahwinan yang kita sedang bina. Sebagai seorang isteri, kita akan mula nampak kelemahan suami setelah berkongsi hidup dengannya. Rupanya suami seeorang yang garang, rupanya suami tidak romantik, rupanya suami kedekut, rupanya suami jenis mengongkong, rupanya suami begitu dan begini. Pelbagai warna sebenar akan terserlah setelah melalui kehidupan bersama-sama.

Tetapi kelemahan yang kita kita lihat tidak patut dijadikan sebab untuk kita menjauhi suami. Sebaliknya seharusnya kelemahan suami menjadi sebab untuk kita menjadi semakin dekat kepadanya. Membuat kita semakin rasa bertanggungjawab untuk membimbing dan mendidik suami. Sebab yang kuat adalah kerana kita sayang dan cinta kepada suami.

Kalau tidak sayang, masakan kita sanggup mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya.
Saya suka mengingatkan diri saya dengan kata-kata ini ,

" kita bukanlah hanya menjadi isteri disaat suami gembira, disaat suami berjaya, disaat suami mampu memberikan apa sahaja permintaan kita, disaat suami masih sihat dan masih gagah.
Tetapi kita perlu menjadi isterinya disaat dia gagal, disaat dia sedih, disaat dia gagal memberi nafkah dengan sebaiknya dan disaat dia lemah dan tak berdaya."

Adakah sayang dan cinta kita tertakluk ketika saat yang manis-manis sahaja?

Dan ketika perkara terburuk berlaku dalam perhubungan kita sanggup untuk mengatakan,
"Maaflah abang.
Saya tidak sayang abang lagi.
Saya tidak sanggup untuk mengharungi hidup ini bersama abang lagi.
Saya sudah tidak tahan dengan perangai abang.
Saya mahu berpisah."

Rupanya sayang dan cinta kita bersyarat.

Saya sendiri cuba mendidik diri untuk menerima segala kelemahan suami. Sebagai isteri kita juga mempunyai banyak kelemahan yang tidak disedari.

Terima kekurangan suami dan bantu suami membaiki diri dari semasa ke semasa dengan penuh kasih sayang. Mari menjadi isteri semasa susah dan senang, semasa sihat dan sakit dan semasa bahagia dan derita.
Sekian.
Semoga Bermanfaat.

Comments

Popular Posts