Bulatan Gembira

Oleh : Siti Zakiah Meskam

Assalamualikum w.b.t dan Bismillah.

Pernah dengar tidak usrah atau bulatan gembira?

Saya mula mengenali usrah sejak zaman universiti lagi. Banyak ajakan yang saya tolak, tetapi pernah juga terjebak usrah sekali sekala. Ketika itu, perasaan untuk berusrah tidaklah seseronok mana. Rasanya dulu waktu mudalah nak bersuka ria tambahan lagi kawan ramai ketika itu. Maka hidup saya ketika zaman universiti hanyalah mencari keseronokan menghabiskan masa bersama rakan-rakan.Tiada impian, tiada matlamat hidup yang tetap.

Sehinggalah saya bekerja, saya mula rasakan hidup saya sentiasa dalam kitaran yang sama. Pergi dan balik kerja, hujung minggu bercuti, cukup bulan ambil gaji, sesekali pulang ke kampung. Begitulah kitarannya. Rasa cukup semuanya tetapi jiwa saya rasa kosong.

Disebabkan itu saya mula mencari erti hidup. Saya tahu ada sesuatu yang saya perlukan tetapi saya tidak pasti apa. Mulanya saya memenuhkan masa dengan mencari kelab rakan muda, konon mahu beraktiviti. Tetapi perancangan Allah adalah terbaik. Melalui facebook sahabat, saya terjumpa IKRAM dan akhirnya saya memutuskan untuk mengikuti usrah yang diadakan oleh IKRAM.

Itulah usrah berkala saya yang pertama, iaitu dengan makcik Parizah yang dibuat di rumah sahabat di Manjung, Perak. Disebabkan rasa seronok, saya turut mengajak rakan-rakan saya yang lain yang juga satu pejabat dengan saya.Selepas saya mengikuti usrah baru saya rasakan hidup lebih bermakna. Baru saya sedar tentang peranan manusia di bumi ini.

Oh ya, usrah ini bukanlah 'strict' sangat tau. Kadangkala jumpa sekadar beramah mesra dan berkenalan sambil makan-makan isi perut. Cuma yang menariknya, disamping usrah kita akan digalakkan juga untuk mengikuti pogram-pogram yang lain.Tujuannya untuk kita menambah lagi kefahaman tentang agama islam terutamanya berkenaan tauhid, sirah Rasulullah s.a.w, Hadith, tokoh islam, dan sebagainya.

Semakin lama saya mengikuti usrah semakin saya rasa kurangnya ilmu saya tentang islam sebelum ini. Rupanya saya adalah orang islam yang hanya sekadar nama sahaja. Tetapi penghayatan dan kefahaman tiada langsung, maka layakkah untuk mendapat syurga Allah.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita :
Jika kamu mahukan dunia, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan akhirat, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan kedua-duanya, maka hendaklah kamu berilmu’ (HR Bukhari)

Hanya dengan ilmu yang benar kita mampu untuk mendapat kedua-duanya.

Alhamdulilah, Allah beri saya kekuatan untuk terus berada bersama dalam bulatan gembira ini dari saya di Perak sehingga ke Johor ini. Insha allah dimana-mana sahaja kita berada, pasti ada orang yang memperjuangkan agama Allah.

Secara jujur, ada ketika saya agak malas untuk menghadirkan diri ke usrah atau pogram agama yang lain. Ya, ia bukanlah sesuatu yang wajib pun bahkan kita punya urusan lain yang perlu diuruskan. Tetapi mengenangkan jiwa  perlukan makanan, maka saya kuatkan jua. Bulatan gembira ini antara taman-taman syurga yang sentiasa dikunjungi dan didoakan oleh malaikat, maka jiwa-jiwa yang hadir didalamnya akan didoakan dan mendapat ketenangan.

Saya suka untuk menyarankan sahabat-sahabat diluar untuk turut berada dalam bulatan ini. Tanggapan salah jika menyangka usrah hanya untuk orang yang memakai kopiah dan tudung labuh sahaja. Penampilan saya pun hanyalah biasa-biasa sahaja.Memang wujud perasaan rendah diri jika berkumpul sesama mereka tetapi saya lebih mengutamakan niat untuk mencari ilmu dan memperoleh ketenangan.Semoga dengan usaha mencari ilmu ini Allah ampunkan dosa dan kejahilan saya dalam beribadah.

Jika kalian mencari-cari bulatan gembira(usrah), bolehlah berhubung dengan saya melalui fb atau whatsapp. Saya juga kini mengikuti usrah mak-mak yang dikenali dengan nama BKG (Bulatan Keluarga Gembira) atas seliaan Puan Khadijah Ghani di Johor. Insha Allah, kami juga akan mengadakan aktiviti playgroup untuk anak-anak dalam masa yang terdekat ini.

Comments

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Hương Lâm chuyên dịch vụ cho thuê máy photocopy màu hoặc bán máy photocopy màu uy tín, giá rẻ tại TP.HCM và giải đáp máy photocopy nào tốt nhất cũng như link download driver toshiba 456 chính xác.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts