Mari Belajar dari Siti Hajar

Oleh : Siti Zakiah Meskam
Entri 31

Bersempena raya qurban yang bakal menjelma, suka untuk saya kongsikan tentang kehebatan seorang wanita, isteri dan ibu yang diangkat perbuatannya oleh Allah dalam ibadah haji.

WANITA DAN ISTERI YANG TAAT

Kisah keteladanan Siti Hajar bermula ketika Nabi Ismail masih dalam susuan.

Siti Hajar dibawa suaminya Nabi Ibrahim dari Palestin ke Mekah yang ketika itu tandus , tiada kehidupan dan tiada seorang pun manusia yang tinggal disitu.Tanpa bertanya, Siti Hajar hanya menurut suaminya. Dia berdua bersama Ismail dengan hanya berbekalkan satu bekas berisi air.

Dalam keadaan sukar itu, Nabi Ibrahim bergegas pulang ke Palestin dan berlakulah dialog diantara mereka :

"Wahai Ibrahim, mengapa engkau tingalkan kami berdua di negeri yang tandus dan tiada seorang teman pun?" Tanya Hajar.

Nabi Ibrahim tidak menoleh dan tidak menjawab. Siti Hajar mengekori dan mengulangi pertanyaan sebanyak tiga kali. Namun Nabi Ibrahim tetap tidak menoleh dan menjawab.

"Adakah Allah menyuruhmu berbuat demikian?" tanya Hajar lagi.

"Ya." Jawab Nabi Ibrahim singkat.

"Kalau begitu, kami yakin bahawa Allah s.w.t tidak akan membiarkan kami."Jawab Hajar.

Begitulah tingginya keimanan Hajar kepada Allah dan ketaatan kepada perintah suaminya.

IBU YANG GIGIH DAN TABAH

Dengan keputusan ditinggalkan dinegeri yang tandus, Hajar berdepan dengan lagi satu dugaan yang berat iaitu berjuang agar anaknya beroleh air susu.

Pada suatu hari, susunya kering dan bekalan air telah habis. Melihat anaknya Nabi Ismail menangis kelaparan, Hajar berusaha mencari air. Dia naik ke bukit Safa, kemudian seakan-akan nampak bayang air di bukit Marwah. Kemudian dia turun berlari-lari ke Bukit Marwah. Tiada pula air ditemuinya. Dia kembali berlari ke Bukit Safa kerana terlihat air disana. Sebanyak 7 kali Hajar berlari-lari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sehingga akhirnya dia terkulai disamping Ismail yang menangis kelaparan.

Kuasa Allah maha hebat, doa dan usaha Siti Hajar dimakbulkam oleh Allah. Air keluar dari tempat kaki Ismail menendang yang kini dinamakan air ZamZam (ertinya berhenti).

Itulah sedikit cerita tentang Siti Hajar, contoh wanita yang taat kepada Allah, isteri yang taat kepada suami dan ibu yang teguh hatinya dalam memenuhi keperluan anaknya.

Oleh itu, mari sama-sama kita contohi peribadi Siti Hajar yang dijamin syurga oleh Allah.

1- Taat kepada suami dalam hal-hal yang tidak salah disisi agama.

2- Tawakal kepada Allah setelah keputusan telah dibuat.

3- Orang yang mengaku bertawakal tidak hanya duduk diam, tetapi diiringi usaha sekuat tenaga.

4- Seorang ibu perlu tabah, tidak mudah menyerah dan gigih mencari penyelesaian hidup.

5- Hadapi ujian Allah dengan tenang dan tetap teguh untuk berjuang.

6- Wanita perlu cinta kepada Allah melebihi cintanya kepada manusia.

7- Jangan berputus asa dan yakin dengan pertolongan Allah.

Siti Hajar menjadi wanita yang dikenali sehingga ke akhir zaman. Mari kita meniru ketakwaan dan kegigihan dirinya agar nama kita bukan sahaja 'harum' didunia, tetapi juga 'harum' diakhirat.

Comments

Popular Posts