Bacaan untuk orang yang sudah berkahwin sahaja

Entri 16
Oleh : Siti Zakiah Meskam

Awal tahun ini saya berpeluang menghadiri pogram mahligai sakinah anjuran Ikram Kulai yang dikendalikan oleh Pak Utih atau nama penuhnya Ahmad Shafiai Bin Uda Jaafar. Sebelum ini saya pernah hadir ke pogram beliau tetapi ketika itu masih bujang.Memang seronok. Tidak sangka Allah beri rezeki untuk dapat hadiri sekali lagi tetapi kali ini bersama suami.

Mahligai Sakinah memberi pendedahan akan perbezaan lelaki dan wanita bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari aspek perbezaan emosi. Objektifnya adalah untuk memahami perbezaan kehendak dan keperluan pasangan dirumah agar boleh menambah nilai cinta.

Ya, lelaki dan perempuan memang Allah jadikan berbeza. Perbezaan itu bukanlah jurang untuk menjauhkan bahkan perbezaan adalah keperluan untuk saling lengkap melengkapi.

Bahagian yang paling menarik adalah simulasi suami isteri. Pak Utih memberitahu, kita akan semakin menghargai pasangan apabila kita mengetahui pengorbanan yang dilakukan pasangan.



Ibaratnya sama seperti perasaan sayang anak kepada ibu bapa. Kita menyayangi mak bapa kita kerana pengorbanan yang mereka lakukan. Kita nampak bagaimana mak bersusah payah bangun awal pagi semata-mata untuk menyiapkan bekalan kita kesekolah. Mak kita sanggup bersengkang mata siapkan baju raya kita. Mak kita sanggup ikat perut asalkan anaknya cukup makan. 

Bapa kita sanggup pinjam duit dan kerja keras semata-mata mahu cari duit untuk sekolahkan kita. Bapa kita sanggup kerja dibawah hujan panas asalkan dapat beri kita sesuap nasi untuk makan. Susah payah , jerih perit dan keringat mak bapa kita membesarkan membuatkan kita bertambah rasa hormat, sayang dan cinta kepada mereka.Kita terhutang budi kepada pengorbanan mereka.

Begitulah juga dalam perhubungan suami isteri. Pengorbanan tidak cukup sekadar buat-buat tahu , tetapi pengorbanan perlu diberitahu. Kerana perbezaan kita tidak memungkinkan kita untuk tahu dan rasa seratus peratus sebagaimana pasangan kita rasa.

Menurut Pak Utih lagi, aktiviti inilah yang sepatutnya dilakukan ketika ulangtahun perkahwinan. Raikan bukan sahaja dengan kek atau makan malam berdua,  tetapi dengan meraikan pengorbanan yang dilakukan dalam masa setahun itu.

Semasa simulasi dijalankan, masing-masing diberikan satu kertas kosong untuk menulis apa pengorbanan yang dilakukan.

Dengan syarat kita perlu menulis pengorbanan yang kita rasa pasangan kita tidak sedar atau tidak perasan tetapi mempunyai nilai yang tinggi pada diri kita.

Kami diberi masa 10 minit untuk menulis. Sepanjang pogram pasangan suami isteri memang dipasangkan duduk bersebelahan. Walaupun suami isteri, meluahkan perkara secara berhadapan dengan jujur sukar sebenarnya. Saya jeling suami, suami jeling saya semula.Masing-masing sengih.Jadinya kertas kami kosong sahaja.

Selepas itu Pak Utih meminta pasangan yang sukarela untuk berkongsi luahan rasa. Ada seorang suami yang berkongsi pengorbanan isterinya melahirkan anak sebagai suatu yang sangat2 dihargai. Ada yang berkongsi terharu pengorbanan isterinya sanggup melepaskan kerjaya demi menjaga anak. Bila sampai part isteri nak balas agak tersekat-sekat sebab sedih.

Saya sendiri merasa sedih.Meningkatnya usia perkahwinan makin banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Perlahan-lahan saya cakap dengan suami.

"Cakaplah apa pengorbanan abang yang saya tidak tahu. "
Suami macam biasa, tunjuk macho.
"Alaa.. takkan selama ini tak nampak kot" balas suami.
Tak lama matanya berkaca.
"Takpe saya faham susah payah abang untuk keluarga kita. Susah abang masa kita nak kahwin dulu. Tak siapa yang tahu. Kalau dulu abang tak beritahu mungkin sampai bila-bila saya tak tahu". Balas saya .

Saya akui, kita menjadi bertambah lega apabila meluahkan perasaan secara terbuka.Lebih memahami dan lebih menghargai pasangan.

Cubalah anda praktikkan memberitahu pasangan apa pengorbanan yang anda telah lakukan tanpa dia sedari. Kadangkala kita tak perlu tunggu ulangtahun perkahwinan untuk meberitahu luahan hati.Tak perlu juga tunggu hadiri program bersama-sama baru nak meluahkan.

Gunakanlah  waktu berdua-duaan atau ketika bergurau senda, dengan  menyelitkan luahan hati dengan penuh kasih sayang.Itu lebih baik daripada memendam perasaan. Sentiasalah berkomunikasi yang baik dengan pasangan anda, in sha Allah rumah tangga anda akan sentiasa bahagia.

Ingatlah, bahagia takkan datang secara tiba-tiba. Kita sendiri perlu berusaha untuk menghadirkan rasa bahagia dalam hidup berumah tangga.


Semoga bermanfaat.

Comments

Popular Posts