Indahkah berkahwin?

Entri 17
Oleh : Siti Zakiah Meskam

Ketika zaman bujang, saya terlalu menginginkan agar segera berkahwin. Kahwin dalam masa belajar pun tak apalah. Yang penting saya mahu rasa gembira, punya pasangan , rasa mahu disayangi, rasa dicintai, rasa bahagia selama-lamanya.

Ketika itu, berkahwin adalah segala-galanya.Tengok orang lain berkahwin, saya pun nak kahwin juga. Kahwin adalah penamat hidup saya. Rupanya apa yang saya fikir betul adalah sebaliknya. Perkahwinan hanyalah permulaan bagi hidup yang lebih panjang.

Tahun pertama berkahwin, saya masih tercari-cari makna perkahwinan.

Kenapa masih rasa tak best kahwin?
Bahagia memang rasa bahagia.
Tapi tak selamanya rasa bahagia.

Banyak konflik yang berlaku antara saya dan suami. Mungkin kerana masing-masing masih lagi dalam proses penyesuaian diri. Orang yang kita kenal sebelum berkahwin, takkan sama apabila menjadi suami yang dikahwini.

Kita baru kenal perangai sebenarnya apabila semua urusan dijalankan bersama. Cara kita dan dia menguruskan kehidupan tidak sama. Cara kita menyelesaikan masalah juga berbeza.

Sampaikan hal yang kecil seperti suami tolong potong sayur tetapi tak sama macam cara kita pun boleh jadi sebab untuk bermasam muka.

Itu belum lagi isu hujung minggu nak kerumah mak dia atau mak kita, malam raya pertama tidur rumah siapa, siapa hulur duit belanja, isu lambat mengandung salah siapa, berbeza cara berjenaka dan banyak lagi.

Sampaikan satu ketika saya mempertikaikan kenapa agaknya Allah suruh hambanya berkahwin.Tak mungkin semata-mata untuk membiakkan manusia sahaja.

Rupanya Allah mahu mengajarkan saya tentang sesuatu. Menghilangkan perasaan pentingkan diri sendiri melalui perkongsian hidup. Baru saya sedar hidup ini bukan semata-mata untuk kepuasan diri sendiri, tetapi adalah untuk memuaskan hati orang disekeliling kita.

Bukan juga untuk hanya menerima sahaja kasih sayang, tetapi kita juga perlu belajar memberi. Hukum Allah, lebih banyak kita memberi lebih banyak kita menerima. Hati kita akan lebih jauh rasa bahagia apabila membahagiakan orang lain.

Teringat kebenaran kata-kata pensyarah bahasa ingeris saya Dr.Mohan,  " Give more and expect less "

Benarlah. Dahulu saya terbalik, "Expect more and give less" sebab itu saya tak pernah puas rasa bahagia. Saya berkira-kira dalam memberi. Saya hanya pertahankan hak-hak yang sepatutnya saya dapat.

Sungguh cantik aturan Allah. Dia memperbaiki diri saya melalui ujian perkahwinan. Saya belajar untuk memberi tanpa berkira. Tanpa rasa sedih jika dikhianati atau disakiti. Tanpa rasa kecewa jika tidak dibalas.

Jika ada orang tanyakan kepada saya, seronok tak berkahwin?Takutlah.

Saya akan balas, Memang seronok. Memang syok. Berkahwinlah! Ujian itu pasti, dan lebih pasti adalah Allah sedang mengaturkan sesuatu yang baik untuk kamu melalui perkahwinan.

Sekian.
Semoga bermanfaat.

Comments

Popular Posts