Menyambut ramadhan di luar kebiasaan

Entri 13
Oleh : Siti Zakiah Meskam

Lagi sehari kita akan menyambut bulan ramadhan yang mulia. Selamat menyambut ramadhan kawan-kawan!

Mari kita berazam menjadikan ramadhan kita kali ini adalah yang terbaik dalam hidup. Sebagai seorang isteri, apa kata kita sama-sama mengajak suami dan ahli keluarga untuk memperbanyakkan amal ibadah.

Jika dahulu sibuk berfikir apa yang mahu dibeli di bazar ramadhan, apa kata ubah kebiasaan dengan memasak dirumah. Rajinkan diri memasak untuk keluarga walaupun masakan yang ringkas. Memberi makan kepada orang yang berpuasa dikira sedekah, apatahlagi orang itu adalah ahli keluarga kita sendiri.

Jika dahulu suka mencuci mata di mall-mall, apa kata ubah kebiasaan dengan mencuci mata dengan membanyakkan membaca al-quran. Ajak sama anak membaca al-quran dan boleh juga membuat kumpulan tadarus sesama ahli keluarga.

Jika dahulu sibuk berfikir persiapan raya, apa kata ubah kebiasaan dengan sibuk berfikir persiapan 10 ramadhan terakhir. Buat rancangan ramadhan setiap hari, tulis di atas kertas dan tampal disudut rumah. Berbincang bersama keluarga aktiviti sepanjang ramadhan.

Jika dahulu tidur lewat malam, apa kata ubah kebiasaan dengan tidur awal sedikit selepas terawih dan bangun awal sebelum sahur. Kejutkan juga ahli keluarga.Hidupkan malam dengan qiamulaill, tahjud dan merintih kepada Allah.

Alangkah indahnya menyambut ramadhan diluar kebiasaan. Kita tak perlu bersesak-sesak dengan orang ramai di bazar, kewangan lebih terjaga, tubuh badan lebih sihat dan segar bahkan kita memperoleh kualiti masa bersama ahli keluarga.

Isteri/wanita mempunyai peranan yang besar untuk menjadikan ramadhan kali ini berbeza dari sebelumnya.  Saya doakan ramadhan kita tahun ini adalah luar biasa!
amen.


Semoga bermanfaat.

Comments

Popular Posts