Jangan Pernah Rasa Cukup

Oleh : Siti Zakiah Meskam
Foto : Hasil edit sendiri




Assalamualikum w.b.t dan Bismillah.


Pernah tak rasa dalam perkahwinan, kita sorang sahaja yang nak berubah menjadi lebih baik? Tetapi tidak bagi pasangan kita. Si dia buat 'relax' saja.


Kita sahaja yang beria-ia dalam menambah ilmu keagamaan, tetapi belum bagi si dia.

Kita sahaja yang mengidamkan 'baiti jannati', tetapi bukan anganan bagi si dia.
Kita sahaja yang bersemangat mencari kebaikan, tetapi masih liat untuk si dia.

Jika tak pernah rasa, Alhamdulillah.

Kalau sudah pernah rasa pun Alhamdulillah juga.

Bersyukurlah dikurniakan pasangan yang membimbing kita ke arah kebaikan, namun perlu banyakkan bersyukur jua andai kita yang terpaksa 'mengheret' pasangan ke arah kebaikan.


Dua-dua ada cabarannya, dua-dua ada ujiannya. Tiada satupun yang melebihi antara satu sama lain kerana asasnya kesemua diri kita diuji Allah, tetapi mengikut kemampuan diri masing-masing.


Sungguh, ujian ini banyak mengajar dan membentuk diri menjadi lebih baik. Ya, semua orang secara fitrahnya suka kepada kebaikan, Tetapi jika cara pendekatanya menjengkelkan dan menyakitkan hati, mana mungkin yang 'di seru' akan menjadi suka.


Bagi kalian yang diuji dengan kekurangan diri pasangan, usah bersedih. Kalian sememangnya cukup kental untuk menghadapi ujian hebat ini. Jangan pernah rasa cukup dengan usaha. Pandanglah ujian ini dengan seribu satu kebaikan.


Jika si dia nampak terguris, kita belajar untuk membaiki kata-kata.

Jika si dia mengabaikan, Kita belajar untuk mendekati dengan lebih baik.
Jika si dia menolak, kita belajar untuk terus meyakinkan. 

Kerja merubah seseorang, bukanlah kerja manusia.Tetapi atas kuasa dan kehendak Allah jua.Allah berfirman yang artinya:


“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.” (QS Al Qashash: 56). 


Benar, hidayah itu lambat atau cepat tetap datang dari Allah. Tetapi sebagai hamba kita juga diajarkan untuk meminta apa sahaja kepada Allah bahkan hidayah untuk orang yang kita sayangi. Saya masih ingat lagi kata-kata Ustazah Norhafizah Musa, 


Berdoalah dengan berkata; " Ya Allah, jadikanlah pasangan dan zuriat keturunan kami orang yang kau paling kehendaki untuk diberi hidayah"



Ini juga adalah kebaikannya diuji, kita menjadi lebih sabar dan lebih banyak mengadu kepada Allah.Namun, jangan sesekali jua mencela orang yang belum dikurniakan hidayah untuk kembali kepada Allah.

Ini kerana, kita tidak tahu pengakhiran hidup kita dan siapa yang lebih baik dari satu yang lain.Tidak mustahl, orang yang jiwanya 'keras' menjadi lebih baik jauh daripada kita yang terlebih dahulu menerima hidayah. Maka, jangan pernah rasa sombong dan jangan pernah rasa cukup.

Jangan pernah rasa sombong dengan kebaikan diri sendiri, dan 
jangan pernah rasa cukup dengan usaha yang diberi.

Berusahalah untuk sentiasa mahu diheret dan mengheret ke arah kebaikan.Dimana kita bermula tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah pengakhiran kita.

Sekian,
Semoga Allah memberi keberkatan dalam hidup kita. 


Ameen.

Comments

Popular Posts