Mengikat Hati Manusia

Oleh : Siti Zakiah Meskam
Entri 38

Assalamualaikum w.r.t dan bismillah.

Saya mahu berkongsi tentang kupasan daripada Ustaz Pharol Ahmad Juoi yang saya dengar dari radio IKIM berkenaan dengan bagaimana mengikat hati manusia. Pada saya ini adalah asas bagi sesebuah perhubungan samada dengan pasangan, keluarga, dan masyarakat.

Pastinya kebanyakan orang mahu rasa disayangi dan setiap perbuatannya dihargai oleh orang-orang disekelilingnya lebih-lebih lagi bagi pasangan yang berkahwin.Dan sudah pasti ramai yang sanggup berbuat apa sahaja untuk kekal disayangi dan digilai oleh pasangan.

Maka, berlumba-lumbalah para isteri untuk kekal langsing dan cantik, makan jamu itu ini, ubat perapat, pikat perut suami dan bermacam cara lagi agar 'cik abang' tak lari. Manakala si suami pula dengan ubat kuatnya dan pulun mencari duit untuk menjamin kebahagiaan isteri.

Cara ini tidaklah salah, tetapi bukan yang utama.

Bagaimana mengikat hati pasangan?

Kata Allah, jika kau habiskan emas sebesar bukit untuk menyatukan hati manusia, kau tak akan mampu. Melainkan dengan keimanan kepada Allah.

Allah berkata juga,
Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.

Cuba lihat ayat ini, Allah katakan iman dahulu kemudian baru dapat menyatukan hati orang.

Begitu juga halnya dalam pasangan suami isteri. Hanya dengan beriman kepada Allah, barulah hati kita mampu untuk bersatu. Barulah timbul perasaan menyayangi, setia, berkorban biar apapun ujian yang menimpa hanya apabila hati isteri dan suami diikat kepada pemilik hati iaitu Allah.

Disebabkan itu, orang yang hatinya ada Allah tidak akan takut dengan penghianatan pasangan.Dia hanya memfokuskan dirinya untuk menjalankan apa yang Allah perintahkan untuk dilakukan kepada pasangannya, bukan memfokuskan apa yang pasangan lakukan kepadanya tanpa mengharapkan ganjaran daripada pasangan, tetapi daripada Allah.

Inilah asas bagi kehidupan dibumi iaitu keimanan kepada Allah.

Sebab itu kita dianjurkan untuk berdoa,

"Ya Allah, kurniakanlah aku kecintaan kepadamu.

Mencintai orang yang mencintaimu.

Dan melakukan perkara yang membuatkan engkau Cinta kepadaku."

Insha Allah dengan melazimi doa ini, kita akan mendapat CINTA yang paling agung dan dikelilingi orang yang mencintai kita kerana Allah.

Sekian.
Semoga beroleh manfaat.

Comments

Popular Posts