Adakah penting penyokong dalam usaha kita?

Oleh : Siti Zakiah Meskam

Assalamualaikum w.b.t dan Bismillah.

Izinkan saya berkongsi satu cerita. Sisi baik yang saya dapat daripada seorang yang hanya dikenali semasa menyertai kursus smart bisnes oleh Tuan Shamsudin Kadir awal tahun ini.

Semasa rehat tengah hari, kami makan bersama sambil berbual. Peluang itu saya gunakan untuk berkenalan sambil menjalin silaturrahim bersama peserta yang lain.

Orangnya sangat petah berkata, tentang dirinya, tentang idea bisnesnya dan tentang perancangannya. Rupanya dia sedang mengambil Phd (kalau saya tidak silap) dalam bidang nanoteknologi makanan mengikut piawaian islam. Dia bercita-cita mahu menggaji orang-orang kurang upaya (OKU) sebagai pekerja di kilangnya.Dia mahu menjadi majikan yang mengutamakan OKU dan menolong golongan ini.Dia percaya OKU adalah pekerja yang baik. Bagi mendapatkan modal dia  bercadang mahu membuat sewaan barangan hiasan untuk perunding perkahwinan .Dari gaya bahasa dia menyampaikan, dia yakin dia boleh melakukannya.

Kami yang makan bersama-sama agak terpegun dengan perancangannya. Bagi saya, untuk seorang wanita yang sudah berkahwin dia seorang yang bercita-cita besar.Seorang yang bercita-cita besar pula tentu mempunyai sokongan yang kuat daripada orang-orang yang rapat dengannya.

Maka saya pun merajinkan membuka mulut,

"Bagusnya perancangan.Mesti suami awak support kan. Baguslah."

Reaksinya senyap. Menarik nafas panjang dan memandang kosong makanan yang di hadapannya.

Kemudian dia berkata.

" Pada saya kan. Tidak penting suami menyokong atau tidak.Orang yang saya nak bantu lebih penting daripada yang menyokong. Buat apa nak orang sokong kita atau tidak. Mereka (OKU) lebih memerlukan bantuan. "

Nafasnya dilepaskan dan dia menyambung semula makan.

Saya mengangguk-angguk faham.Terkedu dalam hati, berlegar-legar kata-katanya sebentar tadi.

Mungkin bagi orang lain jawapannya biasa, tetapi tidak bagi saya.

Hari itu saya belajar sesuatu dari dia.

Ya, adakalanya kita mempunyai impian baik yang besar dan mengharapkan orang yang paling hampir dengan kita (terutamanya pasangan) untuk turut memberi sokongan.

+ Mahu berbisnes demi memajukan keluarga.

+ Mahu anak menjadi Hafiz/ Hafizah.

+ Mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik.

+ Mahu membela haiwan yang terbiar di tepi jalan.

+ Mahu membuat kerja-kerja sukarelawan.

Dan banyak lagi.

Tetapi disebabkan tiadanya sokongan daripada pasangan, hasrat dan impian murni kita dilupakan. Usaha yang kita mulakan terhenti di tengah jalan.

Kita rasa lemah tanpa penyokong, walhal kita sepatutnya menjadi semakin kuat dengan memikirkan orang yang perlu kita bantu.

Membantu orang lain memberi kekuatan dalam diri kita, meskipun pada asalnya kita juga adalah orang yang lemah.

Terima kasih untuk si'dia'.

Saya belajar sesuatu yang membuatkan saya lebih kuat berusaha mencapai impian.

Comments

Popular Posts