Menjaga Aib Pasangan

Oleh : Siti Zakiah Meskam
Entri 21

Assalamualikum dan salam penuh ceria

Satu perkara penting yang perlu dijaga dalam hidup berumah tangga adalah aib pasangan.

Aib adalah perkara yang kita tak suka jika ada orang lain tahu. Aurat, perangai buruk, pengalaman pahit dan dosa-dosa yang dilakukan termasuk dalam aib yang perlu dijaga.

+Apakah perasaan jika pasangan mendedahkan secara jelas hubungan suami isteri dengan rakannya yang lain?

+Apakah perasaan suami jika isteri sering meluahkan perasaan di FB bahawa suaminya tidak memberi nafkah kewangan yang cukup?

+Apakah perasaan jika pasangan membuka cerita kenangan silam yang tidak disukai kepada keluarga rapat?

+ Apakah perasaan isteri jika suami mendedahkan kepada umum ketidakmampuan isterinya dalam melayani kehendaknya?

Jika jawapan bagi soalan diatas adalah tidak suka, malu, marah dan sedih ; maka itulah aib yang perlu dijaga.

Isteri lebih memahami aib si suami, dan begitu juga si suami kepada isterinya.

Kehidupan suami isteri ada bermacam-macam musim dan bermacam-macam rasa. Ketika kita rasa bahagia dan disayangi, kita akan menjadi penyokongnya yang setia. Biar orang lain kata salah, dia tetap betul dihati.

Tetapi ketika timbul rasa susah, rasa terbeban,  tidak bahagia, tidak disayangi; kesetian kepada pasangan menjadi berbelah bahagi.
Dan ketika itulah kita akan terdorong untuk membuka keburukan( aib ) pasangan kepada orang lain.

Mulalah kita mengadu kepada ibu bapa, teman rapat, berkongsi rasa di laman sosial (walau sekadar hint-hint sahaja).

Menceritakan masalah untuk diselesaikan berbeza dengan menceritakan masalah untuk menarik perhatian.

Menceritakan masalah kepada orang yang tidak sepatutnya akan menimbulkan lebih banyak lagi masalah. Perasaan kita akan tergangu, hubungan dengan pasangan akan menjadi hambar tetapi masalah tidak juga selesai.

Oleh itu, seandainya perkahwinan diuji jangan terlalu mudah untuk membuka aib pasangan kepada orang lain. Orang lain mudah menghentam dan menyalahkan tetapi akhirnya kita juga yang akan mengharunginya dan menyelesaikannya sendiri.

Saya mengingatkan diri saya dengan kata-kata ini,
" Peliharalah aib orang lain, nescaya Allah akan memelihara aibmu "

Jika kita melihat pasangan dengan seribu kejahatan dan kesilapan (aib), pasangan juga memandang kita dengan seribu kejahatan(aib).

Pandangan kita adalah cerminan hati.

Untuk mendapat hati yang cantik, ubahlah cara kita memandang. Pandanglah yang baik, nescaya pantulannya pun baik juga.

Insafilah kita ini manusia, tidak akan pernah sempurna. Tidak pernah selamanya baik dan tidak pernah selamanya suci dari dosa.

Peliharalah aib orang lain, bukan untuk mengagungkannya tetapi untuk memelihara diri kita sendiri.

Semoga bermanfaat.

Comments

Popular Posts