Ilmu Parenting tiada guna jika tidak pernah mengucapkan perkataan ini

Teks : Siti Zakiah Meskam

Assalamualaikum w.b.t dan Bismillah..



Salah satu blog parenting yang saya suka adalah blog cik jiji atau nama penunhnya Aidil Rajiah.

Tulisan terbaru beliau adalah mengenai emotional drive kanak-kanak yang mana ramai ibu bapa tidak ambil kisah. Boleh baca di sini.

Secara peribadi, saya mengakui pentingnya ibu bapa memahami keperluan emosi kanak-kanak kerana pengaruh emosi baik atau buruk ketika kecil mengakibatkan kesan jangka panjang sepanjang hidup. Namun dalam masa yang sama, ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan apabila sudah bergelar seorang ibu dan ayah.

Penulisan ini adalah padangan peribadi saya, yang pernah menjadi anak yang merasa kekurangan sokongan daripada ibu bapa baik dari sudut fizikal kewangan mahupun emosi.

Ya, ada ketika memang saya(ketika usia kecil dan zaman remaja) terasa hati dengan layanan daripada ibu bapa.Terkadang merasa seperti tidak disayangi, tidak didengari, tidak diberi kecukupan, tidak memahami, tidak disokong, tidak diberi dorongan dan sebagainya.

Walaupun ibu bapa saya bukanlah golongan prefessional berjawatan tinggi, tetapi ada satu perbuatan mereka yang membuatkan saya sebagai anak mampu melupakan semua kekurangan didikan dan sokongan mereka.

Apakah ia?

Iaitu permohonan maaf dari seorang ibu dan bapa kepada anaknya.

Saya sendiri terkesan dengan kata-kata ini.

Ada ketika disaat bersalaman, ibu membisikkan kata-kata ini kepada saya.

" Kak, Mak minta maaf. Maafkan apa yang kurang."

Setiap kali kata-kata itu diucapkan akan bergenang air matanya.

Dan itulah juga ubatnya tiap kali rasa merajuk seorang anak itu datang.Sedangkan si ibu yang darjatnya lebih tinggi mampu menurunkan ego meminta maaf, takkan seorang anak tidak mampu untuk memaafkan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh seorang ibu.

Semakin dewasa, berkahwin dan bergelar ibu, baru saya sedar.

Tidak kira kita ibu bapa atau anak. Kita tetap manusia biasa.
Kita tetap manusia yang pernah melakukan kesilapan.

Ya, bila sudah menjadi ibu bapa. Pastinya yang terbaik mahu diberi untuk anak. Ada ketika kita mampu mengawal keadaan, tetapi ada ketika juga kita hilang pertimbangan.

Ya, bila sudah menjadi ibu bapa. Kita berusaha memberi yang terbaik. Tetapi ada ketika kita tidak dapat memberi yang terbaik. Kerana kita sendiri masih belajar menjadi yang terbaik.

Saya menulis untuk mengingatkan diri sendiri. 

Tidak salah mencari ilmu dan menjadi pakar dalam bidang keibubapaan. Tetapi jangan terlalu mendabik dada sehingga kita tak mampu menurunkan ego meminta maaf daripada seorang anak.

Ilmu keibubapaan tiada guna jika 
tidak pernah mengungkapkan kata-kata SAYANG.

Juga menjadi sia-sia jika 
tidak pernah mengungkapkan kata-kata MAAF

Renungilah bahawa hidup kita umpama roda.

Jika kita seorang anak, kita juga bakal seorang Ibu atau Bapa.

Jika kita sudah menjadi ibu atau bapa, kita juga asalnya seorang anak.

Jika mahu mendapatkan anak yang soleh, jadilah anak yang soleh terlebih dahulu.

Jika mahu dimaafkan, mintalah kemaafan terlebih dahulu.

Maafkan kesalahan ibu bapa kita, moga-moga anak kita juga memaafkan kesalahan kita.

Akhir kata, mari sama-sama berdoa dengan doa ini.

" Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu-bapa kami dan kasihani mereka sebagaimana mereka telah mengasihani kami ketika kami kecil."

Amiin.


Comments

Popular Posts